Kelab Badminton (KB) Bandar Utama Dragons semakin mengukuhkan cengkaman dalam SS Purple League (SSPL) 2016/17 dengan mengutip kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan KB Muar 11-7 di Gem In Mall, Cyberjaya, hari ini.

Dalam kategori perseorangan lelaki, Zulfadli Zulkiffli terlebih dahulu mengutip mata buat pasukannya, KB Muar. Pemain muda negara itu menang 11-5, 11-4, 9-11, 3-2 (3-1) untuk mengatasi pemain KB Bandar Utama Dragons, Chan Yan Kit.

Selepas itu, dalam kategori perseorangan wanita, pemain wanita nombor satu negara, Goh Jin Wei, kembali menyamakan kedudukan buat KB Bandar Utama Dragons. Pemain muda berbakat itu menewaskan Soniia Cheah 11-8, 7-11, 11-8, 9-6 (3-1), untuk membawa kedudukan 4-4.

Pemain beregu lelaki, Chooi Kah Ming-Tan Wee Kiong, mula meletakkan KB Bandar Utama Dragons di depan selepas itu apabila mereka menewaskan beregu KB Muar, Hoo Thien How-Tan Boon Heong, 11-7, 11-8, 11-8 (3-0).

Gandingan KB Bandar Utama Dragons, Goh Soon Huat-Lai Pei Jing, terus menunjukkan aksi agresif untuk mengejutkan pasangan KB Muar, Chan Peng Soon-Lee Meng Yean, 11-7, 6-11, 11-3, 8-5 (3-1) dalam acara beregu campuran.

Pemain perseorangan lelaki KB Muar, Lee Hyun Il, mengatasi Wei Nan dalam perlawanan terakhir 11-6, 7-11, 10-6 (2-1). Namun, kemenangan Hyun Il sudah terlambat dan gagal menghalang kemenangan mutlak KB Bandar Utama Dragons dalam pertarungan menarik itu.

Jurulatih KB Bandar Utama Dragons, Tan Bin Shen, nyata gembira dengan kemenangan pasukannya.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan rentak pasukan KB Bandar Utama Dragons dengan tiga kemenangan setakat ini. Saya harap pemain-pemain saya seperti Goh Jin Wei, Tan Wee Kiong dan keseluruhan pasukan akan terus membantu pasukan meraih kemenangan.

"Menentang KB Ampang Jaya selepas ini, saya sudah pasti mengharapkan komitmen serupa daripada semua pemain untuk mencapai sasaran layak ke saingan kalah mati SSPL nanti," kata Bin Shen.

Keputusan penuh:

KB Muar kk KB Bandar Utama Dragons, 7-11

MS2: Zulfadli Zulkiffli mn Chan Yan Kit, 3-1 (11-5, 11-4, 9-11, 3-2).

WS: Sonia Cheah kk Goh Jin Wei, 1-3 (8-11, 11-7, 8-11, 6-9).

MD: Hoon Thien How-Tan Boon Heong kk Chooi Kah Ming-Tan Wee Kiong, 0-3 (7-11, 8-11, 8-11).

XD: Chan Peng Soon-Lee Meng Yean kk Goh Soon Huat-Lai Pei Jing, 1-3 (7-11, 11-6, 3-11, 5-8).

MS1: Lee Hyun Il mn Wei Nan 2-1 (11-6, 7-11, 10-9)