Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yakin dengan usahanya untuk mengekalkan status Terbuka Malaysia musim 2017 sebagai kejohanan bertaraf premier.

Antara cabaran terbesar sudah pasti tertumpu kepada kemudahan gelanggang sambil dua venue, iaitu Stadium Putra Bukit Jalil serta Stadium Malawati, Shah Alam kini sedang menjalani proses menaik taraf.

Stadium Negara bakal menjadi pilihan, bagaimanapun, venue itu perlu menjalani proses transformasi yang serius.

Pemangku Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid, berkata pihaknya optimis Terbuka Malaysia mampu melepasi penilaian yang dilakukan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi memastikan status kejohanan itu tidak terjejas.

"Ia penting bagi kami untuk membuat keputusan yang tepat tetapi ia tidak terlalu awal, kami masih menjalankan proses persiapan. BWF akan mencuba untuk mencari negara-negara yang terbaik untuk membenarkan mereka menjadi tuan rumah kepada Siri Super Premier.

"Kami berharap bahawa kami boleh menjadi salah satu daripada negara-negara yang akan diberikan status Siri Super Premier itu," kata Al Amin.

Siri Super Premier merupakan taraf paling tinggi dalam kalendar BWF.

Dalam perkembangan mengenai jurulatih baru, Al Amin menyerahkan keputusan penuh kepada Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost, dalam menentukan siapa yang akan dibawa masuk ke dalam skuad kebangsaan.

Tumpuan sudah pasti jurulatih perseorangan lelaki, dengan individu berkenaan dijangka memulakan tugas 1 November depan.

"Kami juga melihat kepada kestabilan. Tahun depan kami mempunyai akademi baru, semua perlu diteliti dengan lebih terperinci.

"Sudah tentu keperluan untuk jurulatih perseorangan dalam perancangan dan juga jurulatih beregu. Saya menunggu orang seperti Morten (Frost) untuk mengeluarkan senarai calon untuk diteliti."