BAM yakin kemampuan pemain muda di Manila

By Staff Writer 22 January 2020 152
BAM yakin kemampuan pemain muda di Manila
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempertaruhkan maruah dengan meletakkan kepercayaan penuh kepada perseorangan kebangsaan yang diketuai Lee Zii Jia untuk membentuk skuad ke Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, Filipina bulan depan.

Situasi itu bermakna badan itu tidak perlu menyandarkan harapan kepada perseorangan profesional untuk membantu skuad negara layak secara merit ke pusingan akhir Piala Thomas 2020 di Aarhus, Denmark, Mei depan.

Berdasarkan kedudukan semasa, Malaysia sudah layak ke Piala Thomas berdasarkan kuota ranking berpasukan dunia.

Selain Zii Jia, lima lagi perseorangan, Cheam Jun Wei, Leong Jun Hao, Lim Chong King, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Ng Tze Yong bakal merebut tiga lagi tiket ke Manila.

"Saya fikir Zii Jia adalah perseorangan lelaki pertama yang pasti dan kami juga melihat peluang untuk memberi pendedahan buat pemain muda.

"Penting buat pemain sama ada meraih kemenangan dan mendapatkan keyakinan atau tewas serta kecewa dengan kecaman yang diterima. Ia membolehkan pemain bangkit lebih bagus," kata Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

Dalam masa sama, Choong Hann juga membayangkan skuad beregu lelaki untuk mengikut jejak langkah perseorangan dengan mambariskan kudrat muda daripada kem kebangsaan meskipun hanya ada dua gandingan senior, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Izzudin Rumsani-Goh Sze Fei.

"Mungkin kami tidak memiliki nama besar sejak penstrukturan semula dibuat tetapi kami memiliki pemain muda yang bagus," tambah bekas pemain kebangsaan itu.

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, menawarkan realiti sebenar skuad negara yang hanya memiliki Zii Jia sebagai taruhan paling berpengalaman.

Penyingkiran Soong Joo Ven daripada program kebangsaan awal tahun ini bermakna pemain muda memerlukan pendedahan untuk segera membentuk kematangan.

Pentas seperti Kejohanan Berpasukan Asia diibaratkan medan sesuai untuk melancarkan perkembangan kerjaya bakat masa depan seperti Chong King dan Aidil Sholeh.

"Sekarang yang ada hanya Zii Jia, menduduki ranking ke-12. Jika dilihat keseluruhan, memang ada kejohanan yang dimenang tetapi pemain lain masih belum stabil. Perancangan jangka masa panjang perlu dibentuk," kata Misbun.

"Kehadiran Joo Ven mungkin sedikit lama tetapi terpaksa dikeluarkan, jadi kini kebanyakan yang ada adalah pemain muda."



Editor: Nafis Abdullah

About Author

Staff Writer

Comment