Jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan (C&T), Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan pembentukan pasukan projek khas dengan sasaran membantu perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei, menjulang Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos depan.

Pembentukan skuad itu diumumkan Pengerusi C&T yang juga Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu, hari ini.

Menurut Norza, pembentukan skuad projek khas itu mengambil kira pandangan semua pihak, termasuk Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost.

Hendrawan dilantik selaku ketua jurulatih skuad itu sementara Tey Seu Bock akan bertindak sebagai penolongnya.

"Skuad ini akan (diwujudkan) sehingga Kejohanan Dunia dan kami akan menilainya selepas itu," kata Norza.

"Ini (Kejohanan Dunia) menjadi gelaran sukar untuk Chong Wei dan kami percaya dia perlu mendapat susunan istimewa itu."

Tambahnya, Hendrawan akan diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk pasukan projek khas itu dan akan menghantar laporan terus ke C&T. Hendrawan akan turut berada dalam jawatankuasa tersebut selepas ini.

"Saya rasa semua orang mahu macam-macam, akhirnya kami yang perlu membuat keputusan itu.

"Kami membuat keputusan dengan mengambil kira semua pihak, apa yang paling penting kami juga melihat daripada aspek BAM," kata Norza.

Selain Chong Wei, skuad khas turut disertai Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lim Chi Wing, Soong Joo Ven, Soo Teck Zhi dan Chong Yee Han.