Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan terus melaksanakan dasar menyingkirkan pemain tidak berkualiti sehingga mencapai kuota ideal bagi pembentukan pasukan kebangsaan dan tiada satu skuad pun yang terkecuali melalui fasa terbabit.

Ini antara usaha BAM dalam memastikan ada dua wakil dalam setiap kategori Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Untuk rekod, kiraan jumlah anggota skuad kebangsaan pasca saingan Piala Thomas adalah 81 orang.

Sejak memulakan proses penyingkiran, tujuh pemain sudah tidak lagi berada di bawah naungan badan induk terebut.

Menjelang bulan depan, 14 pemain lagi akan berdepan nasib sama, dengan BAM berasakan untuk tempoh jangka pendek, 60 pemain adalah memadai untuk meneruskan kelangsungan program negara.

"Sasaran terendah yang ditetapkan BAM adalah Sukan SEA.

"Ia platform untuk BAM menilai pemain kerana kalau mereka gagal memenangi medal Sukan SEA, maka mereka tidak sepatutnya bersama BAM.

"Ini kerana selepas Sukan SEA, kita ada Sukan Komanwel, Sukan Asia, Kejohanan Dunia, Piala Thomas dan sudah tentu, Sukan Olimpik adalah yang tertinggi," kata Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Datuk Ng Chin Chai.

Bagi BAM, skuad berkualiti akan memudahkan proses mengenal pasti wakil yang berupaya untuk layak ke Sukan Olimpik.

"Kami sudah meminta jurulatih untuk mula membuat perancangan dan menyediakan laporan penilaian atlet mereka.

"Kalau perlu, jurulatih diminta memaklumkan kepada calon pemain yang akan digugurkan.

"Kami sangat realistik mengenainya, kami berpesan agar mereka membuat perancangan lain kerana kami tidak akan berbuat demikian," katanya lagi.

Peruntukan maksimum dua wakil dalam setiap kategori boleh direalisasikan sekiranya terdapat dua perseorangan dalam 16 terbaik dan dua beregu dalam kalangan lapan terbaik kelayakan temasya Tokyo 2020.

Dalam Sukan Olimpik Rio 2016, Malaysia memperolehi tiga perak meskipun memiliki hanya satu wakil dalam setiap kategori.

"Sebaik mungkin, kami perlu mulakannya dari sekarang kerana tempoh masa yang sangat terhad.

"Sementara itu, untuk beregu lelaki dan wanita, kita perlu berada dalam kedudukan lapan terbaik dunia untuk layak ke Sukan Olimpik," tambahnya.