Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih menagih sentuhan Hendrawan untuk membantu ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, membimbing pemain kebangsaan sekurang-kurangnya hingga tamat kontrak Disember tahun depan.

Jodoh BAM-Hendrawan masih lagi kuat, dengan badan induk itu berharap pengendali kelahiran Indonesia itu kekal di Malaysia walaupun sudah tidak membimbing jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei.

Apa yang pasti, kontrak bekas juara dunia 2001 itu hanya akan tamat Disember tahun depan.

"Buat masa ini, Hendrawan masih lagi bersama Malaysia dan beliau sudah sebati dengan bahagian perseorangan negara. Kami akan membuat perancangan dalam tugas yang bakal dibahagikan dengan Misbun," kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Hendrawan datang ke Malaysia pada 2009 dan memainkan tugas penting memastikan Chong Wei meraih deretan kejuaraan sejak sedekad lalu.