BAM sudah ada calon pengganti Tat Meng

By Shaiful Shamsudin 10 November 2016
BAM sudah ada calon pengganti Tat Meng
Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Lawrence Chew, mengesahkan pihaknya sudah mempunyai pengganti Wong Tat Meng selaku jurulatih perseorangan lelaki negara dan pengumuman bakal dibuat dalam masa terdekat. 

Tat Meng memilih tidak menyambung kontrak bersama BAM selepas menerima tawaran sebagai ketua jurulatih badminton di Scotland, bermula 9 Januari tahun depan. 

Justeru, jawatan itu bakal digantikan dengan jurulatih baru, namun identitinya masih dirahsiakan dan hanya akan diumumkan oleh Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost. 

Tidak kira siapa pun penggantinya, Lawrence percaya individu yang dilantik itu mampu menjalankan tugas dengan baik seperti mana yang telah Tat Meng lakukan sepanjang bersama BAM. 

"99 peratus jurulatih sudah bersetuju dengan tawaran kontrak baru. Oleh yang demikian, kami tidak gusar dan mempunyai perancangan luar jangkaan. 

"Memandangkan Tat Meng sudah menyuarakan keinginannya untuk berhijrah, kami akan menggunakan perancangan tersebut," terang Lawrence. 

BAM tidak menganggap keputusan Tat Meng sesuatu yang negatif kerana sudah pasti pengalaman yang bakal diraih oleh jurulatih itu di Scotland akan berguna sekembalinya dia ke Malaysia suatu hari nanti. 

"Agak sedih dia meninggalkan kami. Ia adalah soal tidak menyambung kontrak baru dan bukannya dipecat mahupun meletak jawatan. 

"Kami menghormati keputusan Tat Meng dan saya berasa ia peluang baik untuk dia menimba pengalaman di luar, terutama di Eropah dan kemudian kembali ke Malaysia untuk mencurahkan bakti."

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment