Pakar Rujuk Kanan, Pegawai Perubatan Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abd Aziz, akan mengadakan perbincangan dengan barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk merangka program pemulihan bersesuaian buat perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Dr. Ramlan merupakan individu yang bertanggungjawab memantau perkembangan Iskandar daripada sudut perubatan di ISN.

Semua sedia maklum, Iskandar mengalami kecederaan serius di bahagian belakang dan Ramlan berjanji akan sedaya-upaya memberikan rawatan terbaik buat pemain itu agar dia sempat pulih sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Dia juga sedia berbincang dengan jurulatih perseorangan negara, Hendrawan dan Tey Seu Bock, agar program pemulihan yang dirangka mampu memberi ruang buat Iskandar menjalani latihan ringan bersama skuad kebangsaan.

"Apa yang perlu dilakukan adalah melakukan rawatan dan dari situ kita lihat bagaimana kita boleh meningkatkan sesi latihan daripada fasa pemulihan sehingga ke latihan sepenuhnya.

"Ketika itu, kami akan berbincang bersama pemain dan jurulatih dalam mencari jalan terbaik untuk dia kembali menyertai kejohanan," jelasnya.

Tambah Dr. Ramlan lagi, kecederaan yang dialami pemain berusia 25 tahun itu ketika ini masih boleh diselamatkan dan tidak akan memberi kesan terhadap kariernya untuk jangka panjang, dengan syarat dia mesti menghadiri setiap sesi program pemulihan.

"Pada masa ini, kecederaannya tidak serius tetapi dia ada memberi bayangan perlu ada perubahan terhadap sesi latihan fizikal bagi mengelakkan daripada berlakunya kecederaan teruk pada masa akan datang," tambahnya.

Sementara itu, Iskandar melahirkan rasa terharu terhadap perhatian yang diberikan semua pihak terhadapnya.

Ia menguatkan lagi azamnya untuk terus berdisiplin mengharungi program pemulihan yang dirangka agar dia dapat kembali beraksi di dalam gelanggang.

"Saya amat terharu kerana BAM menjaga saya dengan baik sekali. Mereka berhempas-pulas bersama ISN. Saya berasa amat dihargai, jadi saya berharap dapat segera pulih," ujarnya.