Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, menjelaskan bukan niat BAM untuk sengaja merahsiakan keadaan kesihatan jaguh perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei, yang menghidap kanser sejak dua bulan lalu, sebaliknya menghormati kehendak bekas pemain nombor satu dunia itu.

BAM pada Julai lalu mengumumkan Chong Wei berehat daripada sebarang latihan kerana menghadapi masalah pernafasan sehingga dia terlepas saingan Kejohanan Dunia dan Sukan Asia.

BAM sekali lagi menggemparkan rakyat Malaysia apabila mengeluarkan kenyataan hari ini dengan mengesahkan masalah pernafasan yang dialami Chong Wei selama ini berpunca daripada kanser hidung peringkat awal.

Norza menjelaskan beliau adalah invidu pertama yang mengetahui perkara itu sebelum Chong Wei berlepas ke Taiwan pada Julai lalu untuk melakukan rawatan susulan.

Di peringkat permulaan, BAM cuba untuk merahsiakan perkara itu daripada pihak umum atas kehendak Chong Wei secara peribadi, namun setelah spekulasi terus bertiup kencang di media sosial dan atas keizinan Chong Wei dan ahli keluarga, BAM mengambil keputusan untuk membuat pengumuman rasmi.

"Selepas pulang daripada Terbuka Indonesia, Chong Wei mempunyai bonggol di bahagian leher dan dia mengambil rawatan susulan dan ia berkait rapat dengan penyakit dihidapinya," kata Norza.

Keputusan untuk mengumumkan perkara ini juga dilihat tepat pada waktunya setelah perkembangan laporan perubatan Chong Wei menunjukkan tanda-tanda positif.

Di sebalik episod malang yang menimpa Chong Wei kali ini, beliau menjelaskan ini bukanlah pengakhiran karier Chong Wei dan percaya pemain itu akan bangkit dan tidak akan terus berundur daripada arena badminton dunia.