Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, berjanji akan menghantar skuad terbaiknya bagi menghadapi Kejohanan Remaja Dunia di Sepanyol bulan depan.

Dalam Kejohanan Remaja Dunia di Peru tahun lalu, Malaysia boleh berbangga dengan kejayaan perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, muncul juara dengan menundukkan rakan senegara, Lee Ying Ying, dalam final.

Untuk kempen tahun ini, Frost menyifatkan pasukan yang bakal dihantar nanti adalah lebih mantap dan tidak mustahil meraih kejayaan yang lebih baik berbanding 2015.

Antara pemain remaja yang mempunyai potensi untuk menyerlah adalah perseorangan lelaki, Lee Zhi Jia, dan juga perseorangan wanita, Soniia Cheah, yang mempamerkan aksi meyakinkan dalam Terbuka Poland, bulan lalu.

"Saya berasakan pasukan yang dihantar untuk Kejohanan Remaja Dunia kali ini lebih mantap berbanding tahun lalu.

"Saya berharap sesetengah daripada mereka mampu muncul sebagai pemain senior yang bagus," katanya.

Meskipun pemain remaja China sudah menunjukkan taring dalam dua kejohanan sebelum ini di Terbuka Jepun dan Korea Selatan, Frost percaya dengan kemampuan barisan pemain muda negara ketika ini untuk mencipta kejutan.

"Dalam tempoh setahun dua lagi, pemain muda China akan muncul. Ini menarik untuk kita melihat sejauh mana tahap mereka.

"Saya tetap berpendapat kita mempunyai peluang," tambahnya.