Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih memerlukan ruang untuk terus mengkaji keperluan mengekalkan jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan, dalam kem negara susulan persaraan jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei.

Jurulatih kelahiran Indonesia itu merupakan individu yang melatih Chong Wei dalam dua edisi Sukan Olimpik, termasuk perancangan mempersiapkan bekas jaguh negara itu ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bagaimanapun, persaraan bekas jaguh nombor satu dunia itu mencetuskan spekulasi bahawa dia bakal berhijrah mencari pasukan baru biarpun kontraknya masih berbaki sehingga Disember depan.

BAM, menerusi pengarah kejurulatihannya, Wong Choong Hann, menjelaskan tiada pertukaran mendadak akan dilakukan dalam kem perseorangan lelaki ketika ini dengan Hendrawan tetap terus melatih barisan pemain sedia ada.

"Sentiasa ada ruang untuk melakukan penstukturan di mana-mana bahagian BAM.

"Tetapi setakat ini, tiada perubahan dalam kejurulatihan," ujarnya.

Ketika ini, barisan kejurulatihan perseorangan lelaki yang ditunjangi Datuk Misbun Sidek sambil dibantu Indra Wijaya diamanahkan untuk membimbing sembilan pemain yang diketuai Lee Zii Jia.

"Kalau ia tidak mengganggu dan menyebabkan penurunan prestasi pasukan, saya berasakan ia bukan (langkah) yang terdesak dan penting," katanya lagi.