Berbeza dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahu mengelak daripada sebarang konflik tercetus menjelang pemilihan presiden badan induk itu.

BAM enggan drama seperti FAM menjejaskan kesinambungan kejayaan yang dicapai skuad negara, terutama di Sukan Olimpik Rio 2016.

Tengku Mahaleel Tengku Ariff, yang mendapat mandat memimpin BAM pada 2013, mengambil keputusan untuk berehat pada Oktober 2015 atas faktor kesihatan.

Tan Sri Mhamed Al Amin Abdul Majid kemudian memainkan peranan sebagai pemangku presiden sebelum menerma tanggungjawab sebagai chef-de-mission ke Olimpik Rio yang menyaksikan skuad badminton menyumbang tiga pingat perak.

BAM masih belum menetapkan tarikh bagi mesyuarat agung bagi pemilihan kepemimpinan penggal baru, namun dijangka akan bersidang April ini.

Difahamkan, BAM lebih berminat untuk mendapat kata sepakat berbanding memerlukan pengundian untuk menentukan presiden baru.

Selain Al-Amin, Timbalan Presiden, BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, juga pilihan utama untuk kerusi ini.

"Saya berharap kami tidak perlu berebut untuk mendapatkan undian, pada saya jika kami dapat sepakat, adalah lebih baik.

"Tetapi saya bukan membuat sebarang keputusan, ini adalah urusan politik. Namun, kita perlu buktikan kepada rakyat Malaysia bahawa kami kekal bersama demi negara," jelas Pengurus Besar, BAM, Lawrence Chew.