Jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock, tidak mahu anak buahnya, Goh Jin Wei, sekadar berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, sebaliknya berpendapat pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018 itu mampu mencapai kelompok lima terbaik dalam tempoh dua tahun akan datang.

Jin Wei kini baru berusia 18 tahun dan sudah pun berada di ranking ke-27 dunia.

Justeru, pelan persediaan Seu Bock selepas ini adalah memastikan Jin Wei keluar daripada kepompong pemain remaja untuk muncul pemain elit dunia menjelang 2020.

Ia tugasan yang pasti mencabar kerana Jin Wei perlu memecah dominasi Jepun dan China kerana masing masing mempunyai empat hingga lima wakil dalam acara perseorangan wanita.

"Masalah yang dihadapi Jin Wei ketika ini adalah daripada segi konsistensi.

"Mentaliti dan konsistensi adalah perkara berbeza.

"Dia perlu berhempas-pulas sepanjang masa. Apabila berdepan pemain handalan, setiap mata adalah mata yang diraih melalui usaha yang berhempas pulas.

"Ia bukan satu perkara mudah," ujar Seu Bock.

Strategi Seu Bock juga tidak tertumpu kepada penyertaan siri jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berkelas rendah, malah mahu memastikan Jin Wei melepasi suku akhir dalam misi pungutan mata ranking yang lebih banyak.

Selepas meraih emas dalam Sukan Olimpik Remaja, Jin Wei selepas ini akan dipersiapkan untuk menyertai Kejohanan Remaja Dunia di Kanada, 5 November depan.

"Bukan senang untuk dia menang tetapi mungkin senang untuk dia mengumpul mata.

"Saya sedang mempersiapkan Jin Wei dan Soniia Cheah untuk layak ke Sukan Olimpik.

"Mereka perlu berada dalam kedudukan 16 terbaik agar Malaysia boleh menghantar dua wakil.

"Kami perlu memikirkan kaedah berkesan untuk mereka meraih mata," katanya lagi.