BAM cadangkan nama tambahan sertai Program Podium

By Staff Writer 12 January 2017
BAM cadangkan nama tambahan sertai Program Podium

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan mencadangkan beberapa nama untuk diserapkan dalam Program Podium berdasarkan persembahan cemerlang mereka tahun lalu.

Perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Kejurulatihan dan Latihan (BAM), hari ini.

Pemain yang dicadangkan untuk menyertai Program Podium adalah Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Goh Jin Wei, masing-masing daripada perseorangan lelaki dan wanita.

Turut tersenarai, gandingan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing di samping Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin yang beraksi dalam beregu lelaki.

Menurut Pengerusi Kejurulatihan dan Latihan BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, kesemua pemain berkenaan menepati kriteria yang diperlukan untuk mereka diserapkan dalam Program Podium.

"Saya rasa pihak ISN (Institut Sukan Negara) akan meneliti situasi ini secara meluas untuk kriteria tambahan yang baru sebelum menerima atlet yang menepati kriteria terbaru itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Norza turut menjelaskan Akademi Badminton Kebangsaan akan dibuka untuk atlet sebelum penghujung bulan depan.

Akademi itu bakal menjadi pusat latihan buat skuad negara untuk persiapan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur dengan 36 pemain berada dalam senarai awal ketika ini.

Selain itu, skuad negara juga akan diuji dengan Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Vietnam yang akan berlangsung pada pertengahan bulan depan.

"Pasukan yang dihantar tidak akan terdiri daripada pemain utama tetapi ia akan merangkumi pemain pelapis.

"Barisan jurulatih yang akan mengiringi pasukan itu adalah Tey Seu Bock, Cheah Soon Kit, Lim Pek Siah dan Pang Cheh Chang," tambah Norza.

 

About Author

Staff Writer

Comment