Tahun 2016 belum melabuhkan tirai tetapi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), telah mengorak langkah proaktif dengan membuat pemilihan pemain pelapis bagi menghadapi saingan 2017 yang lebih mencabar.

Pemilihan yang dijalankan di Stadium Badminton Bukit Kiara sejak Rabu lalu telah menghimpunkan seramai 100 pemain remaja dari seluruh tanah air.

Selaku Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost, telah meletakkan piawaian yang tinggi dalam pemilihan pemain kali ini.

Selain menumpukan kepada aspek teknikal, Frost juga menuntut pemain yang menjalani pemilihan menunjukkan dedikasi yang tinggi seandainya mahu diserapkan ke dalam skuad pelapis.

"Kami mempunyai kumpulan bakat, kumpulan dari usia 18 sehingga 22 tahun dan sudah tentu kami mempunyai sasaran pada kumpulan tersebut.

"Kami mempunyai kumpulan pelapis berusia 22 hingga 26 tahun dan satu lagi kumpulan elit yang membariskan pemain berusia 15 hingga 35 tahun tetapi bergantung kepada bagaimana mereka bermain badminton.

"Ia memberikan peluang yang lebih banyak untuk kami menilai permainan mereka," ujar Frost.

Seandainya berjaya, mereka akan diberikan tempoh tiga bulan percubaan sebelum diserap sebagai pemain pelapis sepenuh masa.

Kuasa besar dalam sukan badminton seperti Denmark dan China sudah dalam perangkaan mempersiapkan skuad mereka bagi tahun hadapan.

Justeru, Malaysia juga tidak mahu ketinggalan dan Frost yakin sesi pemilihan dan saringan yang dijalankan dapat membantu mencungkil lebih ramai pemain badminton yang berkualiti dalam negara.

"Satu perkara yang saya sangat bangga adalah kumpulan bakat dari usia 18 sehingga 22 tahun terdiri daripada 14 orang pemain daripada 62 pemain yang berusia di bawah 22 tahun.

"Saya berasa ia satu pencapaian yang cemerlang dan ia sangat baik untuk masa depan negara."