Goh Jin Wei menghampiri gelaran juara keduanya dalam Kejohanan Badminton Remaja Dunia apabila mengatasi pilihan dari China untuk ke final di Markham, Kanada, awal pagi esok.

Jin Wei dan Wang Zhiyi sudah beberapa kali berentap di pentas tertinggi badminton remaja musim ini. Antaranya dalam final Sukan Olimpik Remaja 2018 yang diungguli Jin Wei sebelum Zhiyi mencetuskan kejutan menewaskan perseorangan negara itu dalam aksi berpasukan campuran di Markham.

Pertarungan separuh akhir menyaksikan Jin Wei mengawal sepenuhnya rentak permainan untuk menang 21-9, 21-12.

Terdahulu, beregu wanita, Pearly Tan-Toh Ee Wei, mengesahkan tiket ke final apabila menidakkan lawan dari Indonesia.

Mereka menyingkirkan pilihan kedua, Febrina Kusuma-Ribka Sugiarto, 21-19, 21-19.

"Saya berpendapat Goh Jin Wei memiliki harapan cerah untuk memenangi pingat emas manakala peluang beregu wanita, Pearly-Ee Wei, adalah seimbang.

"Pearly-Ee Wei pernah menewaskan pasangan beregu dari China, Liu Xuanxuan-Xia Yuting, dalam Terbuka Belanda menjelang aksi final esok.

"Tekanan terarah kepada Xuanxuan-Yuting selaku pilihan utama, namun rekod di antara kedua-dua beregu ini adalah seimbang 1-1.

"Saya harap pemain beregu negara boleh mempamerkan ketenangan dan beraksi lebih baik berbanding ketika menewaskan beregu Indonesia dalam separuh akhir," kata ketua jurulatih skuad remaja negara, Kwan Yoke Meng.