Penggunaan sains sukan kini sudah mula dipraktikkan oleh skuad badminton beregu lelaki negara selepas pemain-pemain menjalani ujian untuk mengenal pasti perbezaan fizikal setiap pemain, sekaligus berupaya menjadi penanda aras membentuk gandingan lebih efektif.

Ujian pertama menyaksikan 20 pemain telah diuji daripada pelbagai aspek fizikal dan diselaraskan oleh pegawai Institut Sukan Negara (ISN) sambil dipantau jurulatih, Vountus Indra Mawan, Selasa lalu.

Antara kelebihan awal adalah pemain akan memiliki program latihan khusus untuk membantu mereka dalam memenuhi potensi kerana data mengenai setiap pemain dapat diraih.

“Ia lebih kepada latihan fizikal seperti ujian lompatan dan ujian yoyo. Fungsinya adalah untuk pemain berlatih dalam keadaan sesuai dengan individu,” kata Vountus.

Difahamkan, keberkesanan awal ujian tersebut menerusi program khusus itu akan diketahui dalam tempoh sebulan, sekaligus berupaya menjadi kelebihan buat skuad beregu lelaki dalam memastikan akan ada lebih daripada satu gandingan yang dilihat sebagai harapan utama negara di pentas dunia.

“Jika kami dapat melakukan latihan dengan konsep ini, ia dapat mengenal pasti kekuatan dengan lebih spesifik.

“Kesesuaian pemain akan dapat membantu mereka dan setakat ini, penerimaan mereka dilihat positif,” ujarnya.