Atlet Olimpik terus dapat pengiktirafan wang ringgit

By Staff Writer 13 October 2016
Atlet Olimpik terus dapat pengiktirafan wang ringgit
Atlet negara yang meraih pingat di Sukan Olimpik Rio 2016 terus menerima pengiktirafan, kali ini menerusi Anugerah Atlet Menyerlah oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Diketuai jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, atlet negara menerima ganjaran hasil kejayaan mereka di Rio.

Pemenang pingat perak masing-masing menerima RM10,000, manakala RM5,000 buat pemenang pingat gangsa.

Kesemua atlet daripada sukan badminton menerima pengiktirafan masing-masing di samping ratu terjun negara, Pandelela Rinong.

Hanya Cheong Jun Hoong serta atlet berbasikal trek, Azizulhasni Awang, tidak hadir ekoran menjalani latihan di luar negara.

Sementara itu, chef-de-mission kontinjen negara, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid, yakin penantian pingat emas mampu terlaksana pada edisi berikutnya.

Beliau yang juga pemangku presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), optimis sukan itu bakal kekal sebagai penyumbang utama pingat, apatah lagi atlet daripada sukan badminton berjaya untuk mara dalam tiga daripada lima acara penentuan pingat di Rio.

"Sudah pasti harapan tinggi diletakkan kerana selepas beraksi dalam tiga pentas akhir daripada lima acara, peminat sukan meletakkan harapan yang lebih lagi. 

"Semua mahukan pingat emas pertama diraih atlet negara dan sudah pasti daripada sukan badminton. Jika bukan daripada sukan badminton, mungkin dari sukan lain juga, dalam apa acara sekalipun. 

"Tetapi empat tahun merupakan masa yang panjang dan ada banyak kerja yang perlu dilakukan untuk mencapainya," kata Al Amin.
 

About Author

Staff Writer

Comment