Dalam usaha melahir dan mencungkil lebih ramai pemain badminton berbakat negara, Astro melalui cabang tanggungjawab sosialnya, Astro Kasih, tampil menganjurkan Kejuaraan Remaja Astro B-15 peringkat kebangsaan buat julung kalinya.

Ini merupakan inisiatif terbaru daripada Astro Kasih selepas enam tahun menganjurkan Kem Badminton Astro.

Kejohanan itu adalah hasil kerjasama dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Badminton Asia, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan Malaysia.

Menariknya, ia mendapat sambutan hebat apabila sebanyak 32 pasukan, yang terdiri daripada pemain-pemain negeri, kelab dan sekolah, sudah pun mengesahkan penyertaan.

"Ada pemain-pemain Kem Badminton Astro terdahulu yang akan turut mengikuti pertandingan ini.

"Kami menerima penyertaan melebihi jangkaan asal dan akhirnya kami memutuskan untuk membabitkan 30 pasukan," kata Pengarah Hal Ehwal Komuniti Astro, Datuk David Yap.

Kejohanan yang akan berlangsung selama empat hari dari 6 hingga 9 September di Stadium Juara Bukit Kiara itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM14,000.

Ia akan dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan turut dijadual berlangsung majlis menandatangani perkongsian strategik selama tiga tahun di antara Astro dan BAM.

"Untuk bersikap adil dan memenuhi permintaan pasukan yang mendapati sukar mendapatkan pemain wanita, kami membenarkan pemain lelaki bermain sebanyak dua kali," kata jurulatih Kem Badminton Astro, Lee Wan Wah.