Kejayaan badminton yang menyumbang tiga pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 menyaksikan acara itu menjadi tumpuan utama Astro Arena untuk mengikat tajaan bernilai RM66 juta selama lima tahun.

Jumlah itu merangkumi kos promosi pemain, penajaan, penyiaran, produksi serta pemasaran.

Melalui perjanjian yang tamat pada Oktober 2021, Astro Arena akan bertindak sebagai penyiar rasmi eksklusif di Malaysia dan Brunei untuk semua kejohanan di bawah naungan BAM.

"Dengan kerjasama dengan pihak BAM ini, kami akan menyiarkan semua kejohanan peringkat kebangsaan dan empat lagi kejohanan yang termaktub dalam perancangan BAM.

"Kami juga memiliki banyak lagi kandungan eksklusif dalam sukan badminton supaya kami dapat memberikan lebih lagi kepada peminat badminton tanah air," kata Penolong Naib Presiden Astro Arena, Ahmad Khawari Isa.

Khawari berkata demikian ketika majlis menandatangani perjanjian di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur, hari ini.

Setakat ini, rating tertinggi di Astro Arena ialah aksi separuh akhir acara perseorangan lelaki dan beregu lelaki Sukan Olimpik Rio 2016, dengan masing-masing mencatat 6.5 juta jumlah tontonan.