Beregu lelaki negara, Mohamad Arif Abdul Latif-Nur Mohd Azriyn Ayub, menyasarkan 10 kedudukan terbaik dunia selewat-lewatnya tahun depan selain mahu melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Walaupun belum memulakan latihan dan sebarang program khusus dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), itu tidak menghalang Arif-Azryn meletakkan sasaran awal kedudukan mereka dalam ranking dunia.

Kedudukan 10 terbaik dunia merupakan kedudukan yang perlu dipastikan kedua-dua bekas pemain perseorangan negara itu dan ia perlu direalisasikan selewat-lewatnya memasuki 2019.

"Kami mahu cuba meningkatkan ranking dunia ke tahap yang paling tinggi dan berusaha untuk mendapatkan tempat dalam Sukan Olimpik 2020," kata Arif.

Tidak melihat slot Piala Thomas sebagai relevan untuk mereka yang hanya akan melaporkan diri minggu depan untuk menjalani latihan bersama skuad negara, namun dia tidak menolak andai itu tanggungjawab segera yang diberikan BAM.

"Kami terus menunggu keputusan daripada BAM dan jika saya dan Azriyn terpilih, kami akan membuktikan kebolehan kami. Jika tidak, kami akan terus berusaha bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan," ujarnya.

Kedua-dua pemain, yang menandatangani kontrak dengan BAM selaku pasangan beregu baru negara, akan memulakan latihan bersama kem kebangsaan bermula Isnin depan.