Ameer terpaksa ucap selamat tinggal Kejohanan Remaja Dunia

By Jannah Ali 11 November 2016
Ameer terpaksa ucap selamat tinggal Kejohanan Remaja Dunia
Kecederaan lutut memaksa Ameer Zainuddin mengucapkan selamat tinggal kepada Kejohanan Remaja Dunia di Bilbao, Sepanyol, di samping gandingannya, Hoo Pang Rong, dan jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit, melahirkan keresahan.

Kecederaan melanda Ameer ketika pertemuan pusingan ketiga menentang pasangan Perancis, Thom Gicquel dan Toma Popov.

Tewas set pertama 22-20 dan mendahului set berikutnya 7-6, Ameer mencuba untuk meneruskan perlawanan walaupun beberapa saranan diberikan oleh Soon Kit.

Tersungkur buat kali kedua, Ameer terpaksa akur menarik diri daripada saingan, dengan Pang Ron turut bimbang dengan keadaan rakannya.

"Sewaktu saya telah fokus untuk beraksi, saya melihat dia jatuh tetapi dia bangun untuk terus bersaing. Saya tidak tahu apa yang berlaku.

"Kecederaan dia agak serius kerana dia tidak boleh mengerakkan kakinya. Tetapi sewaktu dia jatuh kali pertama, dia masih mampu untuk berdiri. Namun, apabila jatuh kali kedua, dia sudah tidak mampu untuk berdiri semula," ujar Pang Rong.

Dalam pada itu, Soon Kit berkongi semangat untuk meneruskan perlawanan yang ada pada Ameer, namun dia gagal untuk menamatkan permainan.

"Apabila saya melihat dia jatuh, saya berasakan itu memang cukup serius. Saya ada menyatakan kepada dia, jika dia tidak mampu untuk meneruskan perlawanan, jangan paksa diri.

"Pilihan ada di tangan dia, dia yang boleh menentukan sama ada mampu untuk meneruskannya atau tidak. 

"Dia mencuba untuk meneruskan perlawanan tetapi akhirnya dia gagal untuk meneruskannya. Dia tidak meneruskan lagi perlawanan dan kecederaan yang dialaminya kelihatan serius," jelas Soon Kit.

Perkembangan setakat ini, Ameer mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut di hospital, malah tidak berupaya untuk berkata-kata ketika kali terakhir krew Nadi Arena bersamanya.

About Author

Jannah Ali

Comment