Wakil beregu lelaki negara, Ameer Zainuddin, disahkan tidak mengalami kecederaan serius di bahagian lutut kanan, namun tetap perlu menjalani pemeriksaan lanjut sekembalinya ke tanah air.

Ameer yang digandingkan dengan Hoo Pang Rong, mencetuskan kebimbangan apabila dia dikejarkan ke hospital sejurus selepas tersungkur dalam pertemuan pusingan ketiga ketika menentang pasangan Perancis, Thom Gicquel dan Toma Popov, dalam Kejohanan Remaja Dunia di Bilbao, Sepanyol.

Ia adalah insiden di mana Ameer mengalami kecederaan, kali pertama ketika mereka mendahului set kedua 7-6. Selepas cuba untuk terus bermain, Ameer dikhuatiri memudaratkan lagi kecederaannya, sekaligus memaksa pasangan negara untuk menarik diri.

"Lutut Ameer hanya terseliuh dan doktor di sini sudah memberitahu langkah yang perlu dilakukannya.

"Dia akan menjalani pemeriksaan lanjut sekembalinya dia ke tanah air," kata jurulatih remaja negara, Kwan Yoke Meng.

Jurulatih beregu negara, Cheah Soon Kit, berkata keputusan menarik diri itu adalah langkah terbaik buat pemain remaja tersebut bagi mengelakkan kecederaan daripada melarat.

"Sebaik dia terjatuh, kami bertanya kepada dia sama ada dia mampu meneruskan permainan.

"Keputusan itu terpulang kepada pemain sendiri dan selepas beberapa minit menyambung aksinya, dia akur tidak mampu meneruskan pertarungan itu.

"Kami memutuskan adalah lebih baik pertarungan itu dihentikan bagi mengelak kecederaannya bertambah serius."