Ameer Amri Zainuddin bertekad mahu menamatkan kemarau kejuaraan beregu dalam Kejohanan Remaja Dunia buat Malaysia, di samping mengatasi pencapaian abangnya yang juga perseorangan nombor dua negara, Iskandar Zulkarnain.

Kali terakhir Malaysia mendakap gelaran beregu kejohanan itu adalah pada edisi 2011 menerusi Nelson Heg dan Teo Ee Yi.

Iskandar hampir muncul juara pada edisi 2009 sebelum kecundang di pentas final kepada Tian Houwei.

Dua senario ini memadai menjadi pembakar semangat buat Ameer yang mengidam menjadi juara bersama pasangannya, Hoo Pang Ron, di Bilbao, Sepanyol, bulan depan

“Saya mengambil serius pertandingan di Sepanyol ini, sebab ini merupakan sasaran saya tahun ini. Sebelum ini, saya telah digugurkan dan telah dipanggil semula bersama skuad Malaysia,” kata Ameer.

Cabaran buat Ameer adalah untuk membentuk keserasian dengan Pang Ron secepat mungkin dengan gandingannya itu memiliki dua tugasan di Bilbao.

“Saya akan bertemu dengan jurulatih untuk membincangkan strategi kami. Pang Ron dan saya memiliki kualiti yang tersendiri. Kami berharap untuk mendapatkan keputusan di sana nanti.” tambah Ameer.

Selain beregu lelaki, Pang Ron terpaksa membahagikan masa latihan untuk turut memberikan perhatian kepada acara beregu campuran.

Kejohanan Remaja Dunia edisi ke-18 itu akan berlangsung dari 2 hingga 12 November di Bilbao Arena, Sepanyol.

Pada tahun lalu, acara beregu lelaki dimenangi pasangan dari China, Zheng Siwei dan He Jiting.