Pasca Kejohanan Remaja Dunia terus menjadi mimpi ngeri buat pemain beregu remaja negara, Ameer Zainuddin, yang terpaksa menjalani pembedahan dan pemulihan panjang akibat kecederaan lutut anterior cruciate ligament (ACL) di lutut kanannya.

Ameer mengalami kecederaan itu ketika kempen di Bilbao, Sepanyol pada 11 November lalu di mana pemeriksaan awal di sana menyifatkan kecederaannya tidak serius.

Tetapi sekembalinya ke tanah air, Ameer mengambil keputusan menjalani rawatan lanjut sebelum disahkan memerlukan pembedahan.

"Selepas ujian imbasan (MRI) dibuat, terdapat enam atau tujuh bahagian kecederaan di lutut saya manakala ACL saya terkoyak habis.

"Nak buat macam mana, pembedahan perlu dijalankan juga," katanya.

Ini bermakna Ameer yang juga merupakan adik kepada perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain, memerlukan tempoh enam bulan sehingga setahun untuk kembali sepenuhnya.

Malah, dia sudah pasti terlepas sesi pemilihan pemain ke skuad senior bagi musim 2017, hujung tahun ini.

Walau apapun terjadi, termasuk kemungkinan digugurkan daripada program Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ameer akan tetap meneruskan kerjayanya.

"Saya hanya redha dengan apa jua keputusan yang dibuat, semuanya terletak di tangan BAM dan jurulatih.

"Kalau diberi peluang, saya akan menjalani rawatan dengan betul-betul dan saya akan kembali beraksi mungkin pada hujung tahun depan.

"Saya akan buktikannya."