Aidil Sholeh Ali Sadikin membuktikan dia bintang dalam pembikinan meskipun beraksi di luar program kebangsaan dan persoalannya, apakah kejayaan ke final Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 memadai untuk dia dipilih mewakili Malaysia dalam Kejohanan Remaja Dunia 2018?

Itu harapan jurulatih akademi naungan Aidil di Sports Affairs, Rashid Sidek, susulan disisihkan daripada kempen penting negara seperti Kejohanan Remaja Asia 2018, Julai lalu.

Berbekalkan staus sebagai juara perseorangan Kejohanan Bawah 18 Tahun (B-18) Kebangsaan, Rashid berasakan Aidil sudah membuktikan dia layak mewakili Malaysia di Markham, Kanada, November ini.

Dalam laluan ke final Sukma, pemain perseorangan Selangor itu menampilkan antara persembahan terbaiknya dengan menyingkirkan dua pemain pilihan untuk meneruskan kemaraan ke final acara individu, antaranya mengatasi pemain berstatus kebangsaan dan bekas juara remaja Asia, Leong Jun Hao.

"Aidil telah mempamerkan aksi lebih daripada jangkaan. Berdasarkan undian, Aidil mengatasi jangkaan untuk beraksi dalam suku akhir. Berdasarkan prestasinya di Sukma, dia layak untuk dibawa beraksi dalam Kejohanan Remaja Dunia," kata Rashid.

Beraksi dalam perlawanan akhir di Arena Badminton Perak, wakil Pulau Pinang, Tan Jia Wei, menewaskan Aidil 21-16, 21-19.