Pemain beregu lelaki nombor satu negara, Tan Wee Kiong, berkongsi pandangan terhadap peralihan kuasa saingan beregu di pentas dunia, terutama selepas Siri Super Terbuka Jepun dan Terbuka Korea, baru-baru ini.

Tumpuan kini terarah kepada gandingan muda China, Li Jun Hui dan Liu Yuchen, apabila mereka muncul juara Terbuka Jepun selain mara ke peringkat akhir Terbuka Korea.

"Mereka banyak kelebihan, terutamanya dari segi ketinggian. Kalau selalunya orang tinggi lambat sikit tetapi mereka nampak berbeza, dia tinggi tetapi dia lagi laju.

"Jadi, dalam saingan beregu lelaki, ia adalah satu kelebihan besar buat mereka. Mereka adalah pesaing yang sukar bagi kami," katanya.

China melahirkan semakin ramai beregu lelaki handalan apabila Wee Kiong dan pasangannya, Goh V Shem, tewas kepada dua gandingan berbeza di Terbuka Jepun dan Terbuka Korea.

Mereka tewas kepada Jun Hui dan Liu Yuchen dalam separuh akhir Terbuka Korea dan tunduk kepada Huang Kai Xiang dan Wang Yi Lu dalam pusingan pertama Terbuka Jepun.

"Memang dalam beregu lelaki boleh nampak, pemain sokongan pun sudah dapat rentak, sudah menang kejuaraan. Malah, beregu terbaik pun sudah kalah.

"Dalam acara beregu lelaki ini, ia menjadi lebih sukar tetapi itu bukan alasan untuk kami kalah. Kami harap prestasi kami lebih baik lagi," katanya.

Dua lagi kejohanan badminton Siri Super akan berlangsung di Eropah, dengan Terbuka Denmark dari18 hingga 23 Oktober, diikuti Terbuka Perancis dua hari selepas itu.