Pasangan beregu badminton lelaki kebangsaan, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, mungkin terpaksa membuat pilihan yang sukar menuju penghujung tahun ini sama ada mengejar kilauan pingat dalam Sukan SEA Filipina atau meraih penampilan sulung di pentas Jelajah Dunia.

Kedua-dua pemain itu kini dalam kedudukan terbaik untuk cuba melayakkan diri buat julung kalinya ke saingan akhir Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Guangzhou, Disember depan.

Hanya lapan pasangan terbaik yang akan layak beraksi tatkala Aaron dan Wooi Yik kini berada di kedudukan kelima.

Bagaimanapun, mereka dalam dilema apabila tarikh saingan itu terlalu hampir dengan penganjuran Sukan SEA Filipina 2019 tatkala naib juara Seluruh England 2019 itu turut mengidamkan penampilan pertama mereka dalam temasya dwitahunan itu.

"Kalau kejohanan itu tidak bertembung, kami rasa boleh beraksi dalam kedua-dua saingan tetapi ia bergantung kepada jurulatih dan BAM. Saya tidak pernah beraksi dalam kedua-duanya, jadi memang teruja. Apa pun, kami ikut keputusan jurulatih," kata Aaron.

Dalam masa sama, pemain berusia 22 tahun itu masih belum berpuas hati selagi tidak memenangi sebarang kejohanan antarabangsa biarpun dia dan Wooi Yik kini bergelar pasangan beregu lelaki utama negara.

Ia ekoran ranking mereka kini di tangga ke-11 dunia, mengatasi pemain senior, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, di kedudukan ke-20 sementara pasangan profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, di tangga ke-15.

"Saya dan Wooi Yik sudah berganding lama tetapi dalam proses ini, kami masih belum meraih sebarang kejuaraan daripada mana-mana kejohanan," tambahnya.