TAHUN 2016 dilestarikan sebagai musim adiwarna dan seharusnya 2017 adalah detik untuk keluarga sukan tempatan terus memintal impian di pentas dunia.

Di saat kita mengira detik menjelang Sukan SEA ke-29 pada 19-31 Ogos nanti, harapan peminat tidak sekadar berpusar di sekitar temasya dwitahunan itu.

Bola sepak, hoki, badminton, olahraga, skuasy, boling, lumba basikal dan banyak lagi disiplin lain yang harus meniti di bibir pencinta sukan.

Bagi penulis, berikut tujuh belas (disebabkan 2017) harapan peribadi agar ia bertukar realiti.

HARAPAN 1 – Pemain bola sepak Pulau Pinang, Faiz Subri, dinobat sebagai pemenang Anugerah Puskas di Zurich, 9 Januari nanti.

HARAPAN 2 – Pasukan bola sepak tempatan, sama ada berstatus negeri atau kelab, yang tidak ada kemampuan dari segi tadbir urus, kewangan dan kemudahan serta tidak memenuhi syarat-syarat pelesenan kelab menjelang 2018, tidak dibenarkan bertanding dalam Liga M. 

HARAPAN 3 – Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dirombak dari segi pemegang jawatan, perlembagaan dan struktur pentadbiran untuk dijadikan ikutan persatuan negeri lain. Walaupun berbeza adicita politik di antara bekas presidennya dan sesetengah ahli jawatankuasa eksekutifnya, inilah waktu terbaik melaksanakan tindakan mengikut meritokrasi. Exco yang berdekad hidup selesa atas biaya Kerajaan Negeri tidak wajar diberi ruang menentukan masa depan FAS.

HARAPAN 4 – Skuad bola sepak kebangsaan diundi dalam kumpulan yang mudah dan akhirnya mara ke Piala Asia 2019 sebagai satu daripada 12 pasukan di pusingan ketiga kelayakan.

HARAPAN 5 – Datuk Nicol Ann David meraih gelaran ke-9 Kejohanan Dunia dan seterusnya merampas kedudukan No 1 dalam ranking Jelajah Dunia PSA selepas terjerumus ke tangga ketujuh setakat Disember 2016.

HARAPAN 6 – Tunku Ismail Sultan Ibrahim terpilih sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Mac nanti dan merombak urusetia FAM.

HARAPAN 7 – Tiada atlet mengulangi kesilapan pakar berbasikal trek, Azizulhasni Awang, melepas geram dalam laman sosial hanya kerana sudah bergelar juara di pentas dunia, serantau atau Olimpik.

HARAPAN 8 – FAM mengizinkan Kongres Liga Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yang dianggotai 24 pasukan dalam Liga Super dan Liga Perdana menentukan hala tuju Liga M tanpa sebarang campur tangan, halus atau kasar.

HARAPAN 9 – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak lagi menjadi kuda tunggangan untuk kepentingan politik individu-individu tertentu.

HARAPAN 10 – Kontinjen negara yang bakal berkampung di Hotel Renaissance Kuala Lumpur merebut kejuaraan keseluruhan dengan melepasi sasaran 111 pingat emas yang diperolehi generasi 2001.

HARAPAN 11 – Kewujudan Bandar Sukan Kuala Lumpur atau KL Sports City bukan sahaja menjadi saksi kejayaan kontinjen negara di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bahkan diangkat sebagai mercu tanda dan lambang sukan sebagai satu gaya hidup dalam persekitaran yang selamat dan sifar jenayah.

HARAPAN 12 -  Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) serta semua agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan berkaitan sehaluan dalam minda dan perbuatan.

HARAPAN 13 – Khairul Hafidz Jantan menewaskan Shawn Cray sekali gus meleburkan rekod 10.17 saat milik Surya Agung Wibowo untuk menjadi pelari pecut keempat negara mengutip emas 100m sepanjang sejarah Sukan SEAP/SEA, sesudah M. Jegathesan (1965), G. Rajalingam (1967) dan Nazmizan Muhammad (2003).

HARAPAN 14 – Skuad bola sepak Bawah 15 tahun negara di bawah pengurusan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) melepasi pusingan kelayakan September ini dan layak ke Kejohanan Bola Sepak Asia AFC Bawah 16 tahun pada 2018 yang menjadi pentas empat pasukan terbaik mara ke Piala Dunia Bawah 17 tahun 2019.

HARAPAN 15 -  Satu daripada wawasan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengikut pelan jangka masa panjangnya terlaksana dengan kemaraan skuad lelaki dan wanita ke Piala Dunia 2018. Anak buah Stephen van Huizen mengharungi Pusingan 2 Liga Dunia di Tunapuna, Trinidad dan Tobago dengan bertemu Amerika Syarikat, Jepun, Russia, Barbados, Chile dan Switzerland pada Mac nanti manakala skuad wanita kendalian Dhaarmaraj Abdullah bersaing dalam Liga Dunia separuh akhir menentang Ireland, Itali, Thailand, Kazakhstan, Singapura, Fiji dan Wales.

HARAPAN 16 – Datuk Lee Chong Wei bergelar juara dunia akhirnya di Glasgow, Ogos nanti.

HARAPAN 17 – Tokoh-tokoh, pemimpin dan peminat bola sepak tidak menjadikan laman sosial untuk mengacum orang lain.