Kebanyakan yang bertanya terkejut. Ada yang hairan. Ada yang tidak faham. Dan macam-macam lagi reaksi mereka.

Atlit terbaik di antara yang terbaik Malaysia dipilih ke Program Podium dan hanya 97 daripada 30 juta penduduk Malaysia.

0.0003 peratus. 

Kalau tidak cukup mengagumkan, saya pun tidak tahu nak cakap apa.

Misbun Sidek, Zaki Sadri, M.Kumaresan, Watson Nyambek, Lee Chong Wei, Marina Chin, Wong Mew Choo, Nicol David, Pandelela Rinong dan ramai lagi ikon sukan negara merupakan golongan istimewa.

Sejak Program Jaya 1998 bagi persediaan Sukan Komanwel di Kuala Lumpur, sukan mula dilihat daripada sudut yang berbeza.

Sukan bukan sahaja untuk beriadah, kesihatan, kompetitif, perpaduan, menjana ekonomi, namun ia dijadikan sebagai kerjaya sepenuh masa.

Mungkin ada yang masih kurang faham mengapa kebanyakan atlit profesional mengatakan ‘Kemenangan adalah segala-galanya’.

Saya berpeluang mendengar luahan S.Kumar, penjaga gol hoki kebangsaan dan Kimbeley Yap, atlit triathlon negara semasa temuramah untuk [email protected] yang akan disiarkan pada pukul 1 hingga 1.30 tengahari Sabtu ini.

S.Kumar melinangkan air mata semasa berkongsi tentang pemergian anak bongsunya yang berusia 3 tahun, Harshenn semasa beliau bertanding di Liga Hoki Dunia, Belgium dalam misi membawa Malaysia layak ke Sukan Olimpik 2016. 

Manakala, kakak Daniel Bego perenang Malaysia, Kimbeley pula mengalami kemalangan yang hampir-hampir meragut nyawanya selepas berbasikal pulang ke rumah selepas latihan.

Saya semasa digelar atlit pernah mengalami kedua-dua tragedi ini.

Oleh itu, pingat emas dan kedudukan nombor 1 itu adalah segala-galanya bagi seseorang atlit yang melalui pahit manis kehidupan. Dan ia juga merupakan periuk nasi mereka.

Yang positifnya, sukan mampu jadi kerjaya yang menguntungkan.

Atlit terbaik negara sudah pasti dalam kedudukan kewangan yang cukup selesa dengan elaun, insentif dan penajaan. 

Seperti yang dilaporkan oleh salah satu akhbar utama Malaysia, Lee Chong Wei dianggar memiliki pendapatan antara RM2 juta hingga RM3 juta setahun.

Menurut laman Forbes, Tiger Woods dilaporkan pada tahun lalu memperoleh pendapatan RM192 juta. Roger Federer pula sebanyak RM254 juta. Idola bola sepak, Cristiano Ronaldo menerima RM302 juta.

Sungguh lumayan.

Sememangnya ramai mengidam untuk menjadi atlit profesional.

Oleh itu, tahniah kepada mereka dengan bangganya dapat mengatakan,

“Kerja saya bersukan!”.