Kerjasama yang terjalin hasil cetusan ilham Astro Arena dengan Astro Digital Publications selaku penerbit menemui noktah menerusi edisi terakhir yang memaparkan muka depan 21 edisi terdahulu.

Di tengah-tengah kehangatan Liga M yang ditaja Astro di antara 2011 dan 2014, pengurusan Astro Arena dan Astro Digital Publications (Adpub) memikirkan sebuah majalah yang memberi liputan khusus untuk bola sepak tempatan cukup sesuai diterbitkan.

Perbincangan yang diadakan sekitar 2013 melebihi lima kali. Antara isunya sama ada diterbitkan dalam bentuk naskhah atau atas talian atau digital. Akhirnya terlaksana penerbitannya pada April 2014 dalam bentuk digital.

Asalnya jawatan pengarang majalah digital Arena ini ditawarkan kepada Norbakti Alias, bekas pengarang sukan Berita Harian. Namun dia menolak atas sebab-sebab tertentu dan akhirnya Datuk Hishamuddin Aun, penasihat Astro Arena yang juga pengarang urusan majalah digital Arena, mencadangkan nama penulis (selaku pengarang simpanan atau pilihan kedua) kepada Sree Pathmanaban, ketua pegawai operasi Adpub waktu itu.

Bagi penulis, ia cabaran baharu. Selaku wartawan akhbar tabloid, junior broadsheet kemudian menjadi blogger dan pengarang sisipan bola sepak EplX dan Rembat! di akhbar Kosmo, dunia digital satu proses yang semula jadi untuk melengkapkan pengalaman penulis. 

Untuk edisi pertama yang menampilkan Badhri Radzi dan Khairul Fahmi Che Mat sebagai wajah muka depan,  Lee Seng Foo yang juga pengarang urusan majalah Four-Four-Two meletakkan batu asas penerbitan majalah ini dan bertungkus-lumus berganding bahu dengan penulis Shazreeq Alhadi menyediakan keluaran sulung sambil dibimbing Hishamuddin.

Tanpa pengarang yang belum dilantik, panel editorial memilih Piya dan Apeks untuk menghiasi edisi pembukaan dan pengenalan arena, selain menyiapkan pelbagai ruangan seperti peminat selebriti, sepetang bersama, dapur atlet dan pilihan bulan ini yang menggabungkan elemen interaktif termasuk video, teks dan gambar slaid serta muka depan yang diselitkan animasi.  

Peserta seni bela diri campuran atau mixed martial arts, Ann Osman atau nama pentasnya Athena menjadi penyeri muka depan yang disempurnakan oleh Seng Foo untuk keluaran kedua. Sedikit sebanyak inisiatif ini memasarkan sukan MMA ke mata masyarakat, sekecil mana sekalipun.

Penulis terbabit secara terus dengan keluaran ketiga yang menampilkan Edleen Ismail dan Beatrice Krishnan, dua rakan penyampai Astro Arena yang membincangkan bola sepak dari perspektif wanita sempena penganjuran Piala Dunia FIFA. Edisi ini turut memuatkan perancangan Felix Pietro untuk Astro Arena dan Reem Shahwa dari Astro SuperSport yang ditugaskan membuat liputan di Brazil. 

Sazali Abdul Samad, kejayaan skuad aristokrat Pahang, Dollah Salleh dan penolongnya, skuad Malaysia Bawah 22 tahun, Farah Ann Hadi dan kakaknya Katrina Ann, Loh Zhiayi, Shalin Zulkifli dan Sin Li Jane, Irfan Shamshuddin serta Syaidatul Afifah Badrul Hamidi antara yang terpilih mewarnai muka depan arena. 

Interviu eksklusif dengan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, selain dua serangkai tonggak ragbi negara, Dineshvaran Krishnan dan Syahir Asraf Rosli, atau masing-masing dikenali dengan nama gelaran Dugro dan Sahur, turut membawa kenangan tersendiri.

Sebenarnya tugas pengarang arena satu sinergi dengan tugas penulis di Astro Arena. Selaku hos bersama Kafe Sukan, penulis harus sentiasa mengemas kini maklumat dan perkembangan terbaharu dunia sukan tempatan. 

Apabila pengurusan Astro Digital Publications memilih Jason Kang untuk menjadi pereka grafik tetap Arena, daya kreativitinya memberi nilai tambah kepada arena.

Terima kasih kepada jurufoto Ahmad Johanif Azman, jurukamera Ian Kirk dan Shahzuan Al Hadi serta abangnya Shazreeq yang menemu bual Andik Vermansyah untuk resipi ayam penyetnya dan Mohammad Rizal Razak, penyumbang tetap foto dan artikel.

Terima kasih juga kepada Sree yang sudah bersara dan ketua kandungan Adpub, Donald Cheah, yang memberi peluang kepada penulis untuk belajar dan belajar lagi dan semua penulis tetap dan sambilan yang menyumbang.

Sehingga ketemu lagi!

Nota kaki: Arena merakamkan setinggi-tinggi terima kasih untuk semua atlet, jurulatih, penggiat sukan dan kakitangan Astro Arena dan Astro Digital Publications yang memberi kerjasama dalam menjayakan majalah ini.