Kelantan menunjukkan kehebatannya dengan menumpaskan Perlis 3-0 untuk muncul juara Kumpulan D, sekaligus layak ke suku akhir Kejohanan Sepak Takraw Berpasukan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2017 di Dewan Badminton, Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, malam tadi.

Pengurus pasukan, Zaiddi Ismail, memuji persembahan anak buahnya dan menyifatkan mereka sudah mencapai sasaran awal untuk bergelar juara kumpulan dan layak ke peringkat kalah mati saingan bawah 12 tahun itu bertemu Melaka.

“Alhamdulillah, semua pemain beraksi dengan baik dan sentiasa fokus untuk mencari kemenangan dan bergelar juara kumpulan.

“Kejayaan regu B yang diwakili Mohamad Amirul Amir Md Alwi (tekong), Mohammad Naim Ahmad zaidi (apit kanan) dan Ahmad Danish Irfan Azwan (apit kiri) terhadap lawan (pemain Perlis) berjaya mengesahkan kemaraan kami ke suku akhir,” katanya.

Zaiddi juga mengharapkan pemain mudanya terus bersikap tenang dan mengurangkan kesilapan mudah yang boleh menjejaskan prestasi permainan.

“Bertemu Melaka dalam suku akhir nanti, pemain perlu beraksi lebih baik dan kurang melakukan kesilapan mudah yang mampu memberi tekanan kepada pasukan. Insya-Allah kami mampu mara ke separuh akhir,”katanya. 


Keputusan Undian Suku Akhir Bawah 12:

Kelantan lawan Melaka
Johor lawan Pahang
Perak lawan Selangor
Kedah lawan Terengganu

Keputusan Undian Suku Akhir Bawah 15:

Kuala Lumpur lawan Perlis
Selangor lawan Negeri Sembilan
Pulau Pinang lawan Terengganu
Kelantan lawan Perak 

Keputusan Undian Suku Akhir Bawah 18: 

Selangor lawan Kelantan
Pulau Pinang lawan Johor
Terengganu lawan Negeri Sembilan
Perak lawan Kedah