Pengarah Sukan Barcelona, Robert Fernandez, menolak laporan yang mengatakan kelab itu sedang mendekati jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, sebagai pengganti kepada Luis Enrique.

Awal bulan ini, Enrique mengumumkan akan mengundurkan diri dari jawatan yang dipikulnya sejak 2014 skuad gergasi LaLiga itu selepas kempen musim ini berakhir.

Justeru, spekulasi terus dimainkan mengenai siapakah bakal menggantikannya dan nama Allegri -- yang menjuarai Serie A sebanyak dua kali bersama Juve -- antara yang dikaitkan. 

Bagaimanapun, Fernandez menafikan berita tersebut dengan memberitahu Cadena SER: "Adalah tidak benar Allegri akan datang."

Dia bersikap terbuka mengenai calon-calon lain, termasuk pembantu Barca, Juan Carlos Unzue, dan jurulatih Athletic Bilbao, Ernesto Valverde.

Fernandez membayangkan kedua-duanya adalah calon sesuai untuk menggantikan Enrique yang telah memenangi lapan trofi sejak membimbing Barca. 

"Unzue amat mengenali selok belok kelab ini termasuk sistem dan pemain-pemain, jadi dia sudah bersedia.

"Valverde pula mengharungi beberapa musim yang bagus, bukan sahaja di Athletic Bilbao."