Atlet wushu negara, Wong Weng Son, menyasarkan tiga pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur bagi mengubati kekecewaan dua tahun lalu di Singapura.

Weng Son gagal membawa pulang sebarang pingat dari edisi sebelum ini, namun dia tidak mahu kredibilitinya ketika ini diukur dengan pencapaiannya di negara jiran itu.

Sebaliknya, dia berjaya mencuri tumpuan dengan pencapaian September tahun lalu di mana dia meraih emas dalam Kejohanan Wushu Asia dalam acara jianshu.

Sudah pasti saingan dalam Sukan SEA bukan cabaran sukar buat Weng Son yang sudah membuktikan kemampuannya di peringkat dunia.

"Saya berasa yakin untuk menyumbang pingat emas. Tahun lepas, dalam Kejohanan Asia dan dunia, saya melakar kejayaan, jadi saya berharap dalam Sukan SEA nanti, saya tidak akan berdepan masalah," katanya.

Weng Son menyasarkan emas dalam tiga acara -- changquan, jianshu dan qiangshu.

Walaupun yakin dengan kekuatan dimilikinya ketika ini, dia tetap berhati-hati dengan kelibat lawan terutama dari Singapura, Vietnam dan Indonesia.

"Saya harap tiga emas, saya akan berikan yang terbaik untuk melakukannya," tambahnya.