Atlet lawan pedang negara, Joshua Koh, mahu tempoh masa empat bulan berlatih di Korea Selatan dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk memperbaiki prestasi menjelang Sukan SEA  Ogos depan.

Joshua bakal terbang ke Korea Selatan, Sabtu ini, untuk menjalani latihan intensif di sana bersama jurulatihnya, Jong Hoon.

Dia yang baru sahaja pulih sepenuhnya daripada kecederaan belakang yang dialami sejak Disember tahun lalu, kini lebih bersedia untuk mengharungi jadual padat demi Sukan SEA Ogos depan.

Tempoh empat bulan cukup untuk pemenang pingat emas Sukan SEA 2010 ini meningkatkan prestasi ke tahap yang cemerlang. 

“Sabtu ini saya akan ke Korea untuk mempertingkatkan mutu permainan saya. Pada Jun, saya akan mengharungi kejohanan bagi menguji kemahiran serta tahap kecergasan saya,” katanya.

Joshua menyifatkan dirinya berada di landasan yang baik, apatah lagi selepas berjaya menjuarai Kejohanan Lawan Pedang Universiti ASEAN 2017 minggu lalu.

Gagal beraksi cemerlang dalam Sukan SEA lalu di Singapura, Joshua optimis mampu kembali merampas pingat emas buat negara kali ini.

“Saya baru pulih daripada kecederaan. Walaupun meraih kejayaan dalam kejohanan baru-baru ini, masih terdapat beberapa perkara yang harus diperbaiki.”