Pertahanan negara, Shahrom Kalam, percaya terhadap keupayaan Khair Jones untuk mengemudi posisi pertahanan kiri tatkala Khairul Helmi Johari enggan menjadi penumpang untuk aksi persahabatan antarabangsa menentang Filipina di Manila, Rabu ini.

Skuad negara kehilangan pertahanan kiri, Nazirul Naim Che Hashim, ekoran kecederaan.

Tiada penggantian tempat Nazirul, Khair dipertaruhkan di posisi itu ketika perlawanan latihan menentang PDRM kelmarin.

Dia tampak berjaya membentuk kombinasi ampuh bersama Shahrom dan Rizal Ghazali serta Ronny Harun.

“Saya telah bergandingan dengan Rizal dan Ronny dalam Piala AFF, saya turut telah bermain bersama Khair Jones ketika aksi berdepan Timor Leste,” kata Shahrom.

Sementara itu, Khairul Helmi yang juga merupakan tonggak pertahanan Kedah berazam untuk membarisi kesebelasan utama untuk aksi di tempat lawan itu.

“Saya berharap untuk beraksi dalam kesebelasan utama tetapi segala keputusan terletak di tangan jurulatih,” ujarnya.

Terdahulu, kedua-dua pertahanan negara itu hadir memeriahkan cabaran Adidas Tango League di ibu negara, semalam.

TOT United A muncul juara selepas menewaskan One United 7-2 dalam final untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.