Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menyuarakan keyakinan tajaan untuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 mampu mencapai sasaran sebelum temasya berlangsung, Ogos ini.

"Saya percaya dan yakin dengan usaha dilakukan pihak MASOC, kita akan mencapai sasaran tersebut sebelum penganjuran Sukan SEA dan Para ASEAN.

"Ketika ini sudah mencapai tahap 96 peratus daripada segi penajaan perkhidmatan dan bekalan serta 66 peratus sudah dicapai daripada segi penajaan wang tunai," katanya.

Khairy mengesahkan keseluruhan tajaan kini sudah mencapai 85 peratus daripada sasaran RM80 juta.

Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (MASOC) menerima satu lagi penaja baru bagi Sukan SEA ke-29 dan Sukan PARA ASEAN ke-9.

SCGM Berhad tampil sebagai penaja perak dengan majlis menandatangani penajaan itu disaksikan Khairy di Putrajaya, hari ini.

SCGM akan dikenali sebagai 'official green games partner' kerana selain mejadi penaja untuk KL2017, syarikat itu turut terbabit dalam program kesedaran sepanjang program jelajah sekolah.