Kontinjen Majlis Sukan Negara (MSN) muncul juara keseluruhan Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan 2017 yang melabuhkan tirainya di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Kutipan 30 pingat emas, 11 perak dan 14 gangsa menyaksikan MSN mengatasi kontinjen tuan rumah, Terengganu, yang mengumpul 14 pingat emas, 14 perak dan empat gangsa selaku naib juara.

Tempat ketiga milik kontinjen Angkatan Tentera Malaysia yang memungut lima pingat emas, lima perak dan satu gangsa.

Satu rekod kebangsaan turut dipecahkan dalam kategori wanita 58kg selepas atlet Wilayah Persekutuan, Elyone Martin, melakukan angkatan 84kg dalam acara snatch, mengatasi rekod 83kg dicatat atlet Kelantan, Nur Farisha Irwana Supian, pada 2014.

Atlet Terengganu, Mohd Azfar Kamaruddin, yang menggondol dua pingat emas kategori lelaki remaja dalam acara 69kg, muncul Atlet Lelaki Terbaik dengan angkatan keseluruhan 260kg.

Mohd Azfar turut memperoleh dua lagi pingat perak dalam kategori lelaki terbuka 69kg.

Atlet Wanita Terbaik pula milik atlet MSN, Elly Cascandra, yang memenangi empat pingat emas kategori wanita remaja dan terbuka dalam acara 53kg dengan angkatan keseluruhan 160kg.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu.