BARCELONA 4 VALENCIA 2

Pertahanan Barcelona, Gerard Pique, memuji Lionel Messi dan menyifatkan pencapaian rakan sepasukannya itu sukar untuk diulangi mana-mana pemain.

Messi menjaringkan dua gol untuk terus memberi tekanan kepada pendahulu LaLiga, Real Madrid, ketika melakar kemenangan 4-2 ke atas Valencia, awal pagi tadi.

Bintang Argentina itu kini menduduki carta teratas sebagai penjaring terbanyak musim ini dengan 25 gol, dengan mempamerkan satu lagi persembahan yang memukau.

Pique berkata dia sudah biasa menyaksikan sesuatu yang istimewa daripada Messi, namun tetap memberikan pujian kepada pemain berusia 29 tahun itu.

"Kami melihat kepada pemain yang terbaik di dalam sejarah bola sepak," kata Pique.

"Kami sering melihatnya dan ia sudah menjadi kebiasaan tetapi menyedari sampai satu ketika dia bersara, sukar untuk mengulangi apa yang dilakukan Messi."

Luis Suarez dan Andre Gomes turut mencetak gol buat Barca, yang berdepan pasukan yang beraksi dengan 10 pemain dalam separuh masa kedua apabila pertahanan, Eliaquim Mangala, dilayangkan kad merah.

Pique yakin dengan peluang pasukannya untuk menjuarai liga musim ini walaupun Real memiliki kelebihan dua mata dan satu perlawanan.

"Saya yakin kami akan menjuarai LaLiga. Masih terdapat beberapa perlawanan dan jurang di antara kami dan pendahulu liga tidak terlalu jauh."