Pengendali Perancis, Didier Deschamps, menjelaskan bintang AS Monaco, Kylian Mbappe, sudah pasti akan beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia bertemu Luxembourg atau aksi ujian antarabangsa dengan Sepanyol. 

Pemain berusia 18 tahun itu disenaraikan dalam skuad senior ekoran persembahan mantap yang dipamerkan beberapa bulan kebelakangan ini dan Deschamps menegaskan dia akan memberi peluang sulung kepadanya.

"Kylian telah menampilkan aksi hebat ketika ini," kata Deschamps dalam sidang media. 

"Dia menyumbat gol dan dalam prestasi terbaik. Oleh kerana dia masih muda, sudah tentu banyak ruang lagi yang boleh diperbaiki. Tapi apa yang dilakukannya ketika ini menakjubkan kerana ketenangan dan kematangan yang ditonjolkan. 

"Tiada alasan mengapa dia tidak boleh diturunkan dalam kesebelasan utama. Hanya kerana ini adalah panggilan pertamanya bersama skuad kebangsaan, itu bukan bermakna dia tidak boleh memainkan peranan utama. Namun, kami tidak perlu terburu-buru.

"Tempatnya belum terjamin. Semua pemain yang dipanggil haruslah mempunyai impian untuk diturunkan dalam kesebelasan utama."

Mbappe sudah menggegar gawang lawan sebanyak 19 kali musim ini dalam 32 perlawanan.