Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, meletakkan kepercayaan tinggi terhadap Bina Darulaman Berhad (BDB) Triple Challenge 2017 dalam misi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan suatu hari nanti.

BDB Triple Challenge yang memasuki edisi kedua tahun ini menjanjikan acara yang lebih mencabar buat peminat sukan.

Malaysia yang masih belum mencapai tahap sebuah negara bersukan memerlukan lebih banyak acara seumpama ini yang melibatkan ramai rakyat Malaysia.

Justeru, Khairy percaya BDB Triple Challenge mampu menjadi setaraf dengan Hari Sukan Malaysia dan FIT Malaysia yang telah berjaya dilaksanakan, lantas merealisasikan misi menjadikan Malaysia sebuah negara bersukan.

"Kita belum mencapai tahap negara bersukan seperti Australia dan Jepun tetapi kita sedang bergerak ke arah itu.

"Saya melihat usaha daripada Bina Darulaman Berhad adalah untuk menyumbang kepada pembangunan sukan di Malaysia," katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusoff, percaya dengan sokongan daripada Khairy, ia mampu menarik lebih ramai peminat sukan ekstrem kali ini.

Tiga acara yang diadakan, iaitu BDB Climb & Run Langkawi, BDB Extreme Jitra dan BDB Rafting Kulim menanti rakyat Malaysia tahun ini.

"Seruan daripada YB Khairy membuktikan acara ini mendapat sokongan daripada pihak kementerian dan itu memberi kami semangat untuk terus bergerak," jelas Izham.