Skuad bawah 16 tahun lelaki Sabah cemerlang meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas menundukkan Kuala Lumpur 2-0 untuk menerajui Kumpulan C dengan tujuh mata.

Meskipun seri 5-5 bertemu Kelantan dalam aksi pertama, Sabah bangkit mengaut tiga mata dengan menumpaskan Pahang 2-1 dalam aksi kedua, sebelum ini.

Berdepan Kuala Lumpur, Sabah bijak membuat percaturan dengan memberi tekanan kepada lawan yang terperosok di tangga tercorot kumpulan selepas gagal meraih sebarang mata.

Hasilnya, Sabah meraih gol pembukaan seawal minit ke-11 menerusi Muhammad Izaz Afdhaal sebelum meledak gol kedua dalam suku kedua menerusi Muhamad Hasdar Haruna.

Tiada tambahan jaringan berjaya terhasil dalam suku ketiga dan keempat, sekaligus menyaksikan Sabah mara ke pusingan kedua selaku pendahulu kumpulan.

"Pemain mengikut segala perancangan, namun dalam perlawanan ini mereka nampak sedikit gugup di samping melakukan beberapa kesalahan kecil," jelas jurulatih Sabah, Hasrul Jideh.