Gianluigi Donnarumma mengulangi pendiriannya untuk kekal di AC Milan dalam tempoh jangka panjang. 

Penjaga gol berusia 18 tahun itu dilabel sebagai salah seorang pemain berbakat dan sering dikait akan berpindah dari San Siro. 

Juventus dilaporkan menganggap pemain kebangsaan Itali itu sebagai pengganti jangka panjang buat Gianluigi Buffon manakala beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) turut menunjukkan minat terhadap Donnarumma. 

Begitupun, penjaga gawang berkenaan menjelaskan perpindahan tidak berlegar dalam fikirkannya ketika ini. 

"Saya harap dapat kekal di Milan," kata Donnarumma kepada Sport Mediaset. 

"Saya mahu kekal kerana saya adalah peminat Milan."

Kontrak pemain muda itu bakal berakhir pada 2018, namun dia masih belum memuktamadkan perjanjian baru. 

Donnarumma tidak melihat ia sebagai sesuatu yang perlu dibimbangkan kerana memberi kuasa kepada ejennya, Mino Raiola, untuk menangani situasi berkenaan. 

"Urusan kontrak akan diusahakan oleh ejen saya," tambahnya.