Bintang Chelsea, David Luiz, menegaskan dia tidak perlu menjalani pembedahan lutut di sebalik beraksi dalam kesakitan sejak diterjah Sergio Aguero, Disember lalu. 

David Luiz dikasari penyerang itu di Stadium Etihad sehingga menyebabkan pemain antarabangsa Argentina itu dilayangkan kad merah. 

Sejak itu, David Luiz terpaksa beraksi dengan lutut berbalut dan menderita kesakitan. Bagaimanapun, pemain berusia 29 tahun itu mendedahkan dia tidak memerlukan pembedahan dalam mengatasi isu itu hujung musim ini. 

Pertahanan tengah itu dipinggirkan untuk memperkuatkan Brazil berdepan Uruguay dan Paraguay dalam kempen kelayakan Piala Dunia, begitupun dia memandang senario itu dari aspek positif. 

"Tempoh cuti perlawanan antarabangsa memberi peluang untuk saya merehatkan lutut," kata David Luiz kepada Evening Standard. 

"Ia satu perkara yang bagus buat saya. 

"Hanya saya yang tahu betapa saya menderita. 

"Saya tidak perlukan pembedahan pada musim panas nanti. Tapi adalah bagus untuk saya berehat, bukan sahaja untuk lutut, bahkan untuk tubuh badan saya juga. 

"Kami mempunyai kakitangan perubatan yang menakjubkan. Mereka banyak membantu saya."

Hampir setahun David Luiz tidak menyarung jersi Brazil dan dia berharap untuk kembali memperkuatkan skuad yang dibimbing Tite itu. 

"Saya kecewa tidak bersama skuad Brazil tapi saya menghormati keputusan itu.

"Saya bermain secara kerap -- 28 perlawanan bersama The Blues -- dan berusaha memberikan yang terbaik agar terpilih," katanya sambil menjelaskan tidak pernah diberitahu sebab mengapa dia tidak terpilih.