Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abbas, menolak tanggapan bahawa tindakan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) merendahkan tahap kelayakan ke Sukan SEA 2017 adalah bagi memberi peluang kepada lebih ramai atlet beraksi dalam temasya itu.

Zainal berpendapat bahawa atlet kebangsaan perlu diberi ruang untuk beraksi dalam temasya serantau sebagai peluang untuk membutirkan pingat emas buat negara.

Malah, dia  berpendapat pencapaian terbaru atlet lompat tinggi wanita, Yap Sean Yee, dalam memecahkan rekod kebangsaan sebagai petanda atlet ini mampu menyumbang pingat.

Sean Yee melakukan lompatan 1.81 meter, sekaligus mencapai syarat kelayakan catatan tempat ketiga temasya lalu yang ditetapkan oleh KOM.

"Bukan penurunan, kalau kita lihat memang daripada rekod kebangsaan adalah 1.79m. Jadi, apabila ada atlet yang mencatat 1.81m, sudah tentu kami akan membantu dia untuk berada dalam program Kita Juara," kata Zainal.

Sementara itu, Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, juga seiring dengan KOM.

"Dalam edisi Sukan SEA yang lalu, atlet remaja yang melakukan kejutan menghadirkan pingat. Itulah yang menarik tentang Sukan SEA, atlet remaja Malaysia tidak pernah mengecewakan kita," ujar Beng Choo.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menyifatkan pencapaian Sean Yee sebagai kejayaan untuk olahraga Malaysia.

Beliau mengakui kejayaan itu dan beberapa atlet olahraga lain sejak kebelakangan ini memberi petanda baik untuk kilauan emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

"Saya melihat ini adalah petanda baik untuk olahraga dalam Sukan SEA. Olahraga negara beraksi buruk di Singapura dan ramai yang ingin melihat kebangkitan negara dalam Sukan Sea Kuala Lumpur nanti," katanya.

Untuk rekod, kontinjen negara sekadar meraih tiga pingat emas dalam Sukan SEA Singapura, dua tahun lalu.