"Saya berjaya yakinkan mereka. Kalau mereka berjaya meningkatkan prestasi dalam gimnasium, corak persembahan mereka boleh berkembang." Demikian antara cabaran awal yang dihadapi jurulatih hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah. 

Kejayaan muncul naib juara pusingan kedua Kejohanan Liga Hoki Wanita Dunia bukan sahaja membuktikan kualiti Dhaarma sebagai jurulatih, malah mengubah persepsi peminat sukan negara terhadap kemampuan skuad wanita negara yang sebelum ini tenggelam dengan kehebatan pasukan lelaki. 

Tanpa berselindung, Dhaarma mendedahkan sisi gelapnya semasa dalam bilik persalinan. 

"Sebelum ini, saya akan baling botol, campak komputer dan kerusi di dalam bilik persalinan," katanya. 

Di peringkat awal pelantikannya selain ketiadaan pengalaman mengendalikan skuad wanita, Dhaarma mengambil sedikit masa untuk memahami karektor wanita terlebih dahulu.

"Bagi pasukan wanita, mereka patuh dan sangat-sangat sensitif dengan suasana di sekeliling mereka. 

"Sementara itu, lelaki pula sangat ego, angkuh dan kadang-kadang apabila mereka berasakan mereka pemain bintang, mereka anggap mereka lebih bagus daripada jurulatih.

"Peringkat awal adalah tempoh yang paling sukar. Pemain wanita berasakan latihan di bawah kendalian saya di gimnasium adalah penyeksaan paling besar. 

"Saya perlu menjelaskan dan meyakinkan mereka bahawa ia adalah satu langkah utama untuk menjadikan mereka lebih kuat. 

"Mereka menerimanya dan sanggup menghadapi cabaran tersebut... mereka percaya saya memiliki keyakinan ke atas mereka."

Pun begitu, Dhaarma tetap belajar daripada pengalaman ini untuk memantapkan kematangannya dalam bidang kejurulatihan. 

"Saya harus berterima kasih kepada mereka. 

"Mereka berjaya membuktikannya dalam tempoh setahun, mereka telah meletakkan saya di tempat yang sepatutnya," tambahnya.