Jurulatih hoki negara, Stephen van Huizen, menyahut cabaran untuk mempersiapkan pasukan hanya dalam tempoh tiga minggu sebelum mencabar dalam Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh, yang juga kelayakan Piala Dunia 2018.

"Dalam perancangan, kami mempunyai lebih masa latihan tetapi selepas kami memutuskan untuk ke Dhaka, kami  perlu menyesuikan diri," katanya. 

"Kami memohon kepada pengurus pasukan untuk membenarkan sesi latihan diadakan dua hari seminggu. Ia bagi memulihkan kecergasaan dan tingkatkan kemahiran."

Stephen memiliki tiga minggu sebelum ke Dhaka selepas Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerima jemputan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk menggantikan Kanada yang menarik diri daripada kejohanan itu, 4-12 Mac depan.

Malaysia sepatutnya beraksi di Trinidad & Tobago, hujung bulan depan.

"Saya harap tiada lagi kecederaan yang melanda pasukan negara. Buat masa ini, hanya Faizal Saari yang mengalami kecederaan dan saya harap dia akan kembali pulih dengan segera," katanya.

The Malaysian Hockey Tigers kesuntukan masa kerana pemain kebangsaan terikat dengan Liga Hoki Malaysia (LHM) yang tamat 26 Februari ini.

Mujur semua kelab liga memberi persetujuan untuk melepaskan pemain kebangsaan menyertai kem negara yang akan berlatih pada setiap Isnin dan Selasa.

"Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia adalah peluang yang baik untuk kami. Saya tidak menjangkakan apa-apa dalam kejohanan ini dan harap tahap perlawanan yang sama di Trinidad & Tobago," kata Ketua Pegawai Eksekutif KHM, Logan Raj.

"Saya rasa ia keputusan yang tepat kerana Dhaka adalah lebih dekat dari Trinidad & Tobago. Penerbangan ke Dhaka hanya empat jam. Kami sempat menyesuaikan diri. Cuma di sana kami memerlukan persefahaman," kata pemain negara, Fitri Saari.