Skuad bawah 22 tahun negara memperagakan aksi hambar dalam perlawanan persahabatan menentang Vietnam apabila tumbang 0-3 di Stadium Thong Nhat, malam ini.

Tiada apa yang boleh diperkatakan mengenai persembahan skuad negara yang dianggap tampil dengan aksi terburuk di bawah kendalian Frank Bernhardt.

Mereka nyata bermula gugup sebaik perlawanan bermula dan kesilapan Ahmad Khairil Anuar yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya pada minit pertama, memakan diri dan kesempatan itu diambil Ho Tuan Tai untuk meletakkan Vietnam di depan.

Vietnam terus garang dengan larian solo ketua pasukan, Nguyen Cong Phuong, pada minit ke-18 apabila berjaya melepasi kawalan pertahanan negara tetapi usaha itu dinafikan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi.

Pertahanan negara sekali lagi dihukum dengan kerapuhan di bahagian kanan yang bijak diambil kesempatan barisan serangan Vietnam pada minit ke-43 dan Van Toan melepaskan rembatan kencang untuk gol kedua tuan rumah.

Peluang terbaik muncul untuk pasukan negara menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti tetapi ia disia-siakan Jafri Firdaus Chew apabila percubaannya meliar.

Van Toan terlepas peluang meletakkan Vietnam kukuh di depan pada minit ke-47 sekalipun gawang negara ternganga luas apabila tolakannya tersasar ke sebelah kiri.

Cong Phuong memahatkan malam derita Malaysia dengan jaringan ketiga pada minit ke-82 melalui rembatan lencong yang gagal dijangkau Amierul Hakimi Awang.