Kemasukan tiga negara, Indonesia, Filipina dan Brunei, menjadi syarat utama Malaysia sebelum bersetuju menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-9 pada 1977.

Kejayaan atlet negara juga menjadi sebutan hingga kini sekalipun Malaysia gagal muncul juara keseluruhan ketika itu.

Malaysia adalah antara pengasas untuk membentuk Sukan Serantau Asia Tenggara (Sukan SEAP) selain kelibat Thailand, Burma yang kini dikenali Myanmar, Laos dan Vietnam.

Tetapi Sukan SEAP berhadapan isu penganjuran di mana hanya dua negara yang mampu menjadi penganjur, merujuk kepada keadaan kemudahan sukan serta ekonomi negara yang bergabung ketika itu.

Malaysia mengambil inisiatif untuk menjadi penganjur pada 1977, namun bersyarat. Penambahan yang dicadangkan Malaysia akhirnya membawa kepada kemunculan tiga negara baru, iaitu Indonesia, Filipina dan Brunei.

Menurut bekas Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Mustakim Aminuddin, yang merupakan wartawan Utusan yang membuat liputan ketika itu, Malaysia berjaya mengubah wajah Sukan SEAP kepada Sukan SEA yang dilihat lebih berkualiti.

Mustakim turut melabelkan penganjuran 1977 sebagai istimewa apabila Presiden Jawatankuasa Olimpik Antrabangsa (IOC) ketika itu, Lord Killanin, sudi hadir untuk memantau penganjuran temasya berkenaan.

Mustakim turut berkongsi kejayaan atlet negara, terutama melibatkan sukan olahraga.

"Memang ada bintang-bintang dari Malaysia. Seperti lompat pagar, kebanyakan negara-negara Asia Tenggara menganggap Malaysia mempunyai pakar dalam sukan itu. Sebab masa itu kita ada atlet seperti Ishtiaq Mubarak dan Marina Chin."

Sukan SEA 1977 menyaksikan olahraga menyumbangkan pingat dengan Marina ketika itu ibarat ratu trek. Beliau menggondol dua emas masing-masing menerusi acara 100 dan 200 meter lari berpagar selain emas daripada Ishtiaq Mubarak, V. Subramaniam dan Khoo Chong Beng.

Dalam pada itu, kejayaan skuad bola sepak negara juga mencetus kenangan termanis dalam penganjuran Sukan SEA 1977.

Bekas pemain tengah negara, Bakri Ibni, tidak lokek dengan senyuman setiap kali mengimbau semula kenangan manis yang dicipta bersama rakan sepasukan.

Lebih manis, dia antara penjaring gol buat negara sebelum jaringan Mokhtar Dahari mengesahkan kejayaan Malaysia muncul juara Sukan SEA buat kali pertama selepas menewaskan Thailand 2-0.

"Perkara biasa, tidak rasa nak meloncat dan melolong tetapi di dalam hati ketika itu penuh rasa syukur 'aku menjaringkan gol di mana rakyat Malaysia nampak'" katanya.

Sukan SEA 1977 menyaksikan Indonesia selaku juara keseluruhan dengan 62 pingat emas sementara Thailand di tangga kedua, Malaysia menamatkan kempen di tangga kelima dengan 21 emas.

Kini, tinggal 192 hari sahaja lagi sebelum Sukan SEA 2017 bermula dan diharapkan kontinjen negara akan cemerlang di laman sendiri, 19-31 Ogos, nanti.