Bekas penolong jurulatih kebangsaan, Wan Mustaffa Wan Ismail, bangga kerana dapat kembali menabur bakti di institusi pengajian tinggi lamanya selaku ketua jurulatih UiTM FC. 

Wan Mustaffa pernah bergelar penuntut UiTM dalam bidang komunikasi massa, malah pernah bergelar pemain pada 1985. 

Dia yang ditemui pada majlis pengenalan pemain UiTM FC 2017 menganggap peluang diberikan oleh pihak pengurusan sebagai satu penghormatan tertinggi kepada dirinya selaku bekas mahasiswa. 

Dia meletakkan sasaran mahu membawa UiTM beraksi di pentas Piala Malaysia buat kali pertama. 

"Memang satu nostalgia apabila saya diberi peluang sebagai jurulatih untuk mengendalikan pasukan 'UiTM dihatiku'.

"Saya terharu dengan 'adik-adik' (pemain) saya ini. 

"Tiada kepuasan selain dapat melihat mereka begitu bersemangat untuk bermain dan mereka perlukan dorongan," kata Wan Mustaffa. 

Sementara itu, Nursalam Zainal Abidin, berasa gembira kerana dapat kembali beraksi dengan UiTM FC selepas bersama Pulau Pinang musim lalu. 

Pemegang Diploma Sains Sukan UiTM itu berharap kehadiran mereka tidak dipandang sepi oleh pencabar-pencabar lain dalam Liga Perdana. 

"Saya bangga dapat kembali bersama pasukan ini. 

"Saya mahu memberikan yang terbaik untuk membantu UiTM mendapat kedudukan yang baik musim ini. 

"Ramai pemain muda dalam pasukan ini, kami memerlukan sedikit masa untuk mencapai keserasian," ujarnya.